Naza Kia Malaysia Serah Sebuah Pacuan Empat Roda Kepada PDRM

23

MARCH, 2017

Kuala Lumpur, 23 Mac 2017 – Naza KIA Malaysia Sdn Bhd menyerahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis KIA Sorento untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Menara 1, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, dekat sini, pagi tadi.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama KOP Mantap Berhad iaitu salah sebuah anak syarikat Koperasi PDRM itu dihadiri sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar yang menerima kenderaan tersebut daripada Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Encik SM Nasarudin Tan Sri Dato’ Sri Utama SM Nasimuddin.

Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Khalid telah melahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih beliau kepada pihak syarikat Naza KIA Malaysia Sdn Bhd dan KOP Mantap Berhad yang telah menyumbangkan kenderaan yang bernilai lebih RM100,000 itu untuk kegunaan rasmi pihak polis.

Tambah beliau lagi, PDRM amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan khususnya untuk kemudahan pergerakan bagi menjalankan tugasan rasmi harian pihak polis.

Terdahulu, delegasi dari Kumpulan Naza, Koperasi PDRM dan KOP Mantap Berhad telah melakukan kunjungan hormat ke atas Tan Sri Khalid di pejabat beliau dekat Tingkat 31 bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan saling bertukar-tukar pendapat.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Dato’ Rusli Ahmad, Timbalan Penagarah 1 Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Dato’ Aidi Ismail, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza World Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri Dato’ Sri Utama SM Nasimuddin, Pengerusi Koperasi PDRM, Tan Sri Datuk Hussin Haji Ismail, Pengerusi Eksekutif KOP Mantap Berhad, Datuk Mohd Nazar Samad dan rakan-rakan media.

Want new articles before they get published?

Subscribe
to our Newsletter.

Home     About     Investment Area    Media     Career     Contact

KOP MANTAP BERHAD

Tingkat 2B, Bangunan Koperasi Polis,

No.1 Jalan Sulaiman,

50000, Kuala Lumpur.

info@kopmantap.com
+603 2276 5776
+603 2276 5770