KUALA LUMPUR 25 Mac – Kerajaan mengumumkan tiga insentif yang disifatkan sebagai ‘buah tangan’ untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penghargaan kepada jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperuntukkan dana khas Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM1.5 bilion menerusi Skim Pelaburan ASB i-KOP.

Menurutnya, dana khas ASB itu dijangka memberi manfaat kepada warga PDRM yang menjadi ahli Koperasi PDRM (KPDRM). “Skim Pelaburan ASB i-KOP ini diwujudkan untuk seluruh warga PDRM yang menjadi ahli KPDRM. “Pengumuman ini sebagai buah tangan kepada PDRM sebab saya tidak ingin tuan-tuan pulang dengan tangan kosong,” katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 Tahun 2018, di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini. Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Skim pelaburan ASB i-KOB merupakan kerjasama KPDRM dengan PNB yang memperuntukkan dana RM1.5 bilion sebagai dana khas PDRM. Dalam skim tersebut, Bank Mualamat bertindak sebagai pengeluar modal pelaburan sebanyak RM70,000 bagi setiap anggota koperasi yang melabur. Skim berkenaan terbuka kepada warga PDRM yang menjadi ahli koperasi, bakal pesara yang berusia 55 tahun serta pesara.

Seterusnya, menurut beliau, dalam Bajet 2018, kerajaan bersetuju meluluskan sebanyak 10,000 unit rumah untuk anggota PDRM di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M-PDRM. “Sebanyak 840 unit telah diluluskan untuk pembinaan yang mana ia merupakan usahasama antara Koperasi Polis dan Protasco Development Sdn. Bhd. “Ini akan disusuli dengan 405 unit yang juga dibina untuk anggota PDRM di Putrajaya dengan harga sekitar RM120,000 hingga RM300,000 yang mana jauh lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.Selain itu, dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta khusus untuk kerja-kerja pembaikan di seluruh kuarters di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/buah-tangan-bagi-pdrm-1.635126#ixzz5BVGtP9GJ
© Utusan Melayu (M) Bhd